Borneo Safari mampu meriahkan Tahun Melawat Sabah 2027

KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Safari diharap dapat diteruskan pada tahun depan bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program berkenaan bukan sahaja menarik penyertaan peminat sukan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara, malah turut memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Sabah.

Menurutnya, penganjuran acara seumpama itu wajar diteruskan kerana mampu menjadi antara tarikan kepada pengunjung, khususnya peminat aktiviti lasak dan sukan permotoran.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Borneo Safari di Dewan Hakka, di sini, pada Sabtu.

Jamawi turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), Faez Nordin serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan program berkenaan.

Katanya, kerjasama dan komitmen pelbagai pihak termasuk penaja serta peserta memainkan peranan penting dalam memastikan acara berkenaan terus mendapat sambutan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang menyokong penganjuran Borneo Safari tahun ini, selain peserta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.

Pada majlis itu, Jamawi turut mengumumkan tambahan hadiah wang tunai kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan mereka.

Turut hadir, wakil penaja Diamond, Masri Sani Kasmoi; Pengurus Kanan Bahagian Strategi dan Pemasaran Bahan Api PETRONAS Dagangan Berhad, Tengku Intan Syarinaz Tengku Mahama; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah, Azaman Poji serta Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Mohd Khairol Nizam Mohamad Ibrahim Khan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan