RM18.7 bilion untuk Sabah perlu diutamakan kepada daerah miskin – Azizah
KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu disalurkan secara bersasar kepada daerah miskin yang masih berdepan masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Azizah Mohd Dun berkata, peningkatan RM1.1 bilion berbanding peruntukan RM17.6 bilion tahun lalu adalah perkembangan positif, namun pengagihannya mesti mengambil kira keperluan sebenar penduduk.
“Kalau kita mahu menyelesaikan masalah kemiskinan, peruntukan mesti sampai ke tempat yang benar-benar memerlukan.
“Keperluan setiap daerah tidak sama dan penyelesaiannya juga perlu bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya.
Azizah berkata, lapan daripada 10 daerah yang pernah dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di negara ini terletak di Sabah.
Daerah terbabit ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.
Menurutnya, kekurangan kemudahan asas bukan sahaja menyukarkan kehidupan harian penduduk, malah menjejaskan peluang ekonomi masyarakat luar bandar, khususnya petani dan nelayan.
“Jika projek lambat dilaksanakan kerana birokrasi yang panjang, kos pembangunan boleh meningkat dan rakyat terus menanggung kesannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, IDS mencadangkan antara 10% hingga 15% daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disalurkan kepada Dana Pembangunan Komuniti Khas untuk daerah miskin.
Cadangan itu bersamaan RM150 juta hingga RM225 juta bagi membiayai pembangunan mengikut keperluan setempat.
Azizah berkata, pengagihan dana perlu berdasarkan data dan kajian lapangan kerana punca kemiskinan berbeza antara daerah, termasuk kekurangan infrastruktur, kesukaran akses pasaran dan kebergantungan kepada orang tengah.
Katanya, IDS kini menjalankan pemetaan kemiskinan di Pitas dan Kota Marudu bagi mengenal pasti profil isi rumah miskin serta halangan ekonomi yang dihadapi penduduk.
Kajian itu dijangka siap pada 2027.
— SABAH NEWS TODAY

