13 daripada 26 perkara MA63 Sarawak selesai
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 26 perkara berkaitan Sarawak yang dibincangkan menerusi platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini dikategorikan sebagai selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, tiga perkara terbaharu dikategorikan selesai susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.
Menurutnya, tiga perkara itu melibatkan obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan; pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua negeri.
“Bagi isu pendidikan dan kesihatan, perkara tersebut telah dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie anak Mongin yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini rundingan dengan Sarawak berhubung pelaksanaan hak di bawah MA63.
Willie turut meminta penjelasan mengenai kuasa kawal selia minyak dan gas, autonomi kesihatan dan pendidikan serta tuntutan 35 peratus jumlah kerusi Parlimen.
Mengenai jumlah kerusi Parlimen, Mustapha berkata, Perdana Menteri dalam mesyuarat MTPMA63 pada 11 September menyatakan terdapat kewajaran untuk meningkatkan nisbah Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada perbincangan lanjut yang perlu disusuli Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, beberapa perkara berkaitan minyak dan gas masih memerlukan keputusan atau perbincangan pada peringkat tertinggi.
Ia termasuk royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Wilayah Laut, duti setem serta hak negeri ke atas pelantar benua.
Mustapha berkata, perkara tersebut akan dibincangkan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah serta terus dipantau MTPMA63 bersama jawatankuasa teknikalnya.
Mengenai penetapan garis masa bagi menyelesaikan baki tuntutan, beliau berkata, tempoh penyelesaian setiap perkara bergantung kepada proses perundangan berkaitan.
Selain itu, tahap kesediaan kerajaan negeri dari aspek operasi, sumber manusia dan kewangan turut perlu diambil kira sebelum sesuatu tuntutan MA63 dapat diselesaikan.
Katanya, kerajaan kekal komited menyegerakan penyelesaian semua perkara di bawah MA63 secara berhemah dan inklusif serta berteraskan semangat Persekutuan.

