139 warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 139 warga asing ditahan dalam beberapa siri Ops Bersama dengan agensi penguat kuasa serta Ops Sapu yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar Kota Kinabalu.

Dalam operasi berkenaan, seramai 247 individu telah diperiksa sebelum pihak berkuasa menahan 139 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka yang ditahan terdiri daripada 32 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan warga Filipina, selain 10 perempuan dewasa warga Vietnam.

Menurut kenyataan itu, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

JIM Sabah berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan itu bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini, selain memastikan semua warga asing mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin tanpa sebarang kompromi,” menurut kenyataan itu.

Berita Berkaitan