‘2026 sudah bah’, Stacy persoal gangguan elektrik, air di Sabah

KOTA KINABALU: Penyanyi kelahiran Sabah, Stacy Anam meluahkan kekecewaan terhadap gangguan bekalan elektrik dan air yang didakwanya semakin kerap berlaku di negeri itu.

Menerusi hantaran di Threads, Stacy mempersoalkan alasan kejadian kenderaan melanggar tiang elektrik yang dikaitkan dengan gangguan bekalan, selain menyentuh masalah air yang menurutnya turut kerap berlaku.

“Takkan malar orang langgar tiang elektrik di Sabah ni sebab malar tiada elektrik, itulah antara selalu alasannya.

“Kalau bukan elektrik, air pun paling selalu jadi ‘chipsmore’. 2026 sudah bah ni,” katanya.

Stacy berkata masalah jalan berlubang mungkin masih boleh ditoleransi, tetapi bekalan elektrik dan air adalah keperluan asas kehidupan.

“Memang setiap bulan kena ready dua benda ni, pandai tiada kah macam mana ni?

“Seingat saya masa kecil dulu pun tak sekerap ini. Berhabis sudah ni sabar dari last year,” katanya.

Bagaimanapun, Stacy tidak menyatakan kawasan tertentu atau kejadian gangguan bekalan yang mendorong hantaran berkenaan.

Hantaran itu turut menarik perhatian pengguna Threads dengan lebih 1,000 tanda suka ketika tangkap layar berkenaan dibuat.

Berita Berkaitan