Presiden PRBS mengaku tidak bersalah pertuduhan salah guna kuasa

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan membabitkan peruntukan RM2 juta.

Tertuduh berusia 67 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A. Dadi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa mengemukakan permohonan peruntukan daripada Kementerian Kewangan Sabah dan melaksanakan projek pembinaan Dewan dan Galeri Kebudayaan Rungus pada 2022 tanpa memperoleh kelulusan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan walaupun mempunyai kepentingan peribadi dalam projek berkenaan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin tempatan serta deposit RM5,000.

Mahkamah turut menetapkan 27 Ogos untuk serahan dokumen manakala perbicaraan ditetapkan pada 2 hingga 4 November.

Selain itu, tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Berita Berkaitan