ADUN Karambunai harap projek 1,800 parkir baharu Hospital Likas dipercepatkan 

KOTA KINABALU: ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan projek pembinaan parkir baharu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta yang telah lama membelenggu pesakit, waris serta kakitangan hospital.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah terhadap ucapan perbahasan Perbekalan Tambahan beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, hospital berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 petak parkir, namun hanya mempunyai 688 petak ketika ini.

Katanya, kementerian memaklumkan permohonan menerusi Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah dikemukakan bagi membina 1,800 petak parkir baharu.

“Semoga kementerian memperoleh kelulusan supaya projek ini dapat dilaksanakan segera kerana ia amat diperlukan oleh masyarakat,” katanya.

Aliakbar berkata, sebagai langkah jangka pendek, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut mencadangkan penggunaan tanah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhampiran Hospital Likas sebagai kawasan parkir sementara.

Beliau berharap penyelesaian jangka pendek itu dapat dilaksanakan sementara menunggu projek parkir kekal disiapkan.

Menurutnya, isu parkir bukan sekadar melibatkan keselesaan pengguna, malah memberi kesan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan, waris serta petugas kesihatan yang setiap hari berurusan di hospital berkenaan.

“Saya berharap semua masyarakat mendoakan agar usaha ini dipermudahkan. Kita juga berharap kementerian terus memberi perhatian kerana parkir merupakan keperluan asas kepada mereka yang mendapatkan rawatan,” katanya.

Sebelum ini, Sabah News Today (SNT) pernah melaporkan secara bersiri mengenai rungutan orang ramai berhubung kekurangan parkir di hospital berkenaan, termasuk insiden pesakit dan waris dikenakan saman oleh DBKK kerana meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan akibat kekurangan ruang parkir.

Berita Berkaitan