Kegagalan Arthur bantu kempen BN dipersoal pemimpin UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Ketiadaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mengundang persoalan dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, kemenangan BN di kedua-dua negeri membuktikan kekuatan gerak kerja parti yang disokong pemimpin dari seluruh negara, namun mendakwa Arthur tidak kelihatan membantu kempen.

Beliau berkata, ketika pemimpin BN Sabah lain turun membantu calon, Arthur didakwa mengambil pendekatan tidak terlibat.

“Sebagai Pengerusi BN Sabah, beliau sepatutnya berada di barisan hadapan membantu parti.

“Namun sepanjang dua pilihan raya negeri berlangsung, beliau tidak muncul membantu jentera BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ghazalie, tindakan Arthur menimbulkan persoalan sama ada beliau cuba mengelakkan konflik politik memandangkan BN bertembung dengan Pakatan Harapan (PH), yang juga rakan dalam Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menilai semula kepimpinan BN Sabah.

Katanya, BN memerlukan pemimpin yang berani memimpin parti ketika pilihan raya, bukan sekadar memegang jawatan.

Beliau turut mengingatkan BN dijangka sekali lagi berdepan PH pada pilihan raya akan datang di Melaka dan memerlukan kepimpinan yang lebih tegas.

Berita Berkaitan