Innoprise Plantations raih pengiktirafan The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026
KOTA KINABALU: Innoprise Plantations Bhd, anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat perladangan berprestasi tinggi apabila menerima pengiktirafan pada The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026 di Kuala Lumpur.
Anugerah itu diterima oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya, pada majlis yang menghimpunkan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan prestasi kewangan dan penciptaan nilai terbaik.

Turut hadir Pengarah Urusan Innoprise Plantations Bhd, Datuk Kelvin Tan Aik Pen, dan Pengarah Eksekutif, Steven Ong Chu Yaw.
The Edge Malaysia Centurion Club Awards mengiktiraf syarikat berpermodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion berdasarkan prestasi kewangan, pulangan kepada pemegang saham, pertumbuhan keuntungan selepas cukai serta pulangan atas ekuiti bagi tempoh tiga tahun.
Anugerah itu turut merangkumi penilaian aspek kelestarian berasaskan rangka kerja FTSE4Good Bursa Malaysia.

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen Innoprise Plantations dalam memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan prestasi perniagaan dan menjana nilai mampan kepada pemegang kepentingan, selaras dengan aspirasi Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

