Netizen puji keberanian JHL Tawau tangkap buaya gergasi
TAWAU: Kejayaan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau menangkap seekor buaya gergasi di Kampung Sungai Udin mengundang pelbagai reaksi positif daripada orang ramai di media sosial.
Pengguna Facebook, Ida Japar, menyifatkan anggota JHL sebagai “pahlawan” yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi memastikan keselamatan penduduk.
Menurutnya, operasi itu memerlukan komitmen tinggi apabila pasukan JHL menaiki bot hampir dua jam untuk tiba di lokasi sebelum berjaya menangkap reptilia sepanjang 18 kaki 3 inci itu.
Beliau berkata, kejayaan operasi tersebut adalah hasil kerjasama JHL bersama beberapa agensi serta sukarelawan.
Ida turut memuji sikap profesional dan dedikasi anggota JHL yang disifatkan sentiasa mengutamakan keselamatan masyarakat walaupun berdepan tugas berisiko.
Beliau turut menghargai bantuan anggota Bomba Sukarelawan dan pasukan Sabah Softwood yang bersama-sama menjayakan operasi itu.

