12 pelajar Sepanggar catat PNGK 4.00 STPM 2025

KOTA KINABALU: Seramai 12 pelajar dari Parlimen Sepanggar berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, sekali gus membuktikan kecemerlangan pendidikan di kawasan berkenaan terus meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah itu, 11 orang merupakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.

Beliau berkata, seramai 783 calon menduduki peperiksaan STPM di daerah Kota Kinabalu bagi tahun 2025 dengan mencatat PNGK keseluruhan 2.79, sekali gus melepasi sasaran KPI kebangsaan.

“Tiga sekolah di bawah Parlimen Sepanggar turut menyumbang kepada kejayaan ini iaitu Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, SMK Agama Kota Kinabalu dan SM All Saints Kota Kinabalu.

“Kejayaan ini membuktikan anak-anak Sepanggar mempunyai potensi besar untuk terus berjaya di peringkat lebih tinggi hasil komitmen guru, ibu bapa dan kesungguhan pelajar sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang MADANI STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut beliau, pendidikan akan terus diberikan perhatian kerana ia merupakan pelaburan paling penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, pengetua serta pentadbir sekolah yang telah memainkan peranan besar dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan.

Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di Sabah untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Berita Berkaitan