ESSCOM mahu negara asing nilai semula ‘travel advisory’ ke Pantai Timur Sabah
SANDAKAN: Negara asing digesa menilai semula nasihat perjalanan (travel advisory) ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) berdasarkan keadaan keselamatan semasa dan fakta terkini, susulan tahap kestabilan yang membolehkan aktiviti pelancongan serta ekonomi berjalan dengan selamat.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos berkata, keadaan sebenar di kawasan berkenaan diperlihatkan kepada delegasi antarabangsa menerusi Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESS Zone 2026. Program itu membabitkan duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil beberapa negara yang dibawa meninjau perairan Pantai Timur Sabah serta lokasi utama dalam ESS Zone.
Menurut Victor, keamanan yang dinikmati ketika ini adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, khususnya ESSCOM bersama agensi keselamatan lain. Katanya, tahap keselamatan semasa membolehkan pergerakan di perairan berlangsung dengan selamat, pulau pelancongan terus menerima pengunjung dan komuniti pesisir menjalankan aktiviti harian dalam suasana aman.
Beliau berkata, persekitaran yang stabil bukan sahaja meningkatkan keyakinan penduduk tempatan, malah penting bagi memberi jaminan kepada pelancong dan pelabur. Keyakinan terhadap keselamatan, katanya, turut menjadi asas kepada pembangunan ekopelancongan, ekonomi biru, perusahaan berasaskan komuniti serta program pemuliharaan alam termasuk Program Pemuliharaan Penyu di Pulau Selingan.
Victor berkata, Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama dengan negara rakan dalam aspek keselamatan serantau dan perlindungan persekitaran maritim bersama, selain menggalakkan pembangunan ekonomi mampan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang.
“Melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini, para delegasi diharap dapat berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing serta menyokong penilaian semula nasihat perjalanan ke ESS Zone berdasarkan keadaan semasa, fakta terkini dan penilaian objektif, bukan lagi berasaskan persepsi lampau,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Victor, semakan terhadap nasihat perjalanan berkenaan berpotensi meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Pantai Timur Sabah, merancakkan sektor pelancongan, menggalakkan pelaburan mampan serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat. Katanya, ESSCOM akan terus memastikan keselamatan menjadi asas kepada keamanan, pembangunan dan kemakmuran di kawasan berkenaan.

