Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Putrajaya – Ewon

PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan politik yang mampu menentukan siapa membentuk Kerajaan Persekutuan serta siapa menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang, kata Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua wilayah itu tidak boleh dipandang kecil kerana pembentukan Malaysia sendiri tidak dapat dipisahkan daripada penyertaan Sabah dan Sarawak.

“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak,” katanya selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA.

Menurut Ewon, Sabah dan Sarawak bukan sahaja perlu mempunyai tempat dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi turut memainkan peranan dalam tadbir urus negara serta percaturan pembentukan kerajaan.

Katanya, jumlah dan kedudukan wakil rakyat dari kedua-dua wilayah boleh memberi pengaruh penting apabila tiada satu blok politik mempunyai majoriti kukuh di peringkat nasional.

“Jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam persediaan menghadapi PRU, Ewon berkata UPKO mahu mempertahankan sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen sedia ada, iaitu Tuaran dan Penampang, manakala tuntutan kerusi lain akan dibincangkan menerusi proses dalaman GRS.

Beliau berkata belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi setakat ini dan perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri Sabah serta parti komponen GRS apabila tiba masanya.

Berita Berkaitan