JAPEN mahu jadi benteng berita palsu, terajui komunikasi negara
PENAMPANG: Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) perlu kembali kepada fungsi terasnya sebagai peneraju komunikasi negara, termasuk memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu dan maklumat tidak benar.
Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad berkata, jabatan itu perlu memainkan peranan sebagai ‘mata dan lidah’ kerajaan dengan menyampaikan dasar kepada rakyat, selain mengumpulkan maklumat serta pandangan masyarakat untuk disalurkan kepada kerajaan.
“JAPEN perlu kembali kepada terasnya… kita berperanan sebagai mata dan lidah kepada kerajaan untuk menyampaikan dasar-dasar yang diumumkan kerajaan dan menjelaskan isu yang menjadi perbincangan masyarakat,” katanya selepas Program Kanou Misorita Bersama Pengurusan Tertinggi JAPEN di Penampang.
Menurut Erwin, keberkesanan fungsi itu penting bagi memperkukuh penguasaan komunikasi negara supaya masyarakat memperoleh maklumat tepat dan tidak mudah dipengaruhi berita palsu. “Kita ingin menjadikan JAPEN sebagai satu jabatan yang unggul dalam komunikasi kerajaan,” katanya.
Program berkenaan menghimpunkan warga JAPEN Sabah termasuk pegawai kader dan Pegawai Perhubungan Awam dari seluruh negeri, selain menjadi ruang kepada pengurusan tertinggi mendengar pandangan di peringkat bawah serta menilai keberkesanan program sedia ada.
Erwin yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JAPEN berkuat kuasa 22 Jun lalu menggantikan Julina Johan turut mahu warga jabatan bergerak seiring dalam memperkukuh JAPEN sebagai saluran komunikasi kerajaan yang dipercayai masyarakat.

