Tak hormat Jalur Gemilang, AKM mahu tindakan undang-undang
PUTRAJAYA: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal menghormati Jalur Gemilang, termasuk dalam kes pemasangan bendera yang tidak lengkap atau tidak mengikut spesifikasi.
Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin berkata setiap kes perlu diteliti dan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang wajar diambil jika terdapat ketidakpatuhan.
“Mereka mesti meneliti perkara ini dan kalau perlu, kena diambil tindakan undang-undang, jangan biarkan.
“Kalau orang buang sampah kita boleh ambil tindakan, apatah lagi kalau meletakkan nilai kenegaraan melalui bendera Malaysia secara tidak betul,” katanya selepas Program Khas Aku Kasih Malaysia: Kesejahteraan Dinikmati di Putrajaya.
Menurut Roslan, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, sebaliknya lambang negara yang membawa nilai maruah dan kecintaan rakyat terhadap Malaysia.
Katanya, tanggungjawab menghormati lambang negara terpakai kepada semua rakyat termasuk penjawat awam.
“Tidak kira sama ada penjawat awam ataupun tidak, asalkan rakyat Malaysia perlu menjaga lambang negara dengan baik kerana itu maruah kita,” katanya.
Roslan berkata penguatkuasaan perlu bergerak seiring dengan usaha pendidikan dan kesedaran bagi memastikan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang tidak terus berulang.
Pada masa sama, katanya, AKM akan meneruskan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga lambang negara serta memperkukuh nilai kenegaraan.

