Kastam Selangor rampas 63 kontena bernilai hampir RM43 juta
PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai barangan dan komoditi selepas merampas 63 kontena bernilai RM42.99 juta termasuk duti dan cukai menerusi empat siri serbuan berasingan.
Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak berkata rampasan terbesar membabitkan empat kontena 40 kaki mengandungi 48.78 juta batang rokok putih bernilai RM37.56 juta termasuk duti dan cukai.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap kontena berstatus transhipment dari sebuah negara Asia mendapati syarikat terbabit didakwa gagal membuat pengikraran dalam manifes bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kastam turut menahan 57 kontena mengandungi kira-kira 1,190 tan metrik besi dan plastik sekerap bernilai RM4.96 juta termasuk duti dan cukai. Barangan berkenaan disyaki tidak mempunyai permit import sah daripada SIRIM.
Dalam kes berasingan, JKDM merampas 1,578.43 liter minuman keras bernilai RM409,917 termasuk duti dan cukai yang ditemukan disembunyikan di sebalik dagangan alat ganti kenderaan terpakai.
Sebuah lagi kontena mengandungi 1,240 unit alat mainan seks bernilai RM52,500 turut disita selepas barangan larangan itu didakwa diikrarkan secara palsu sebagai kerusi, beg pinggang, botol minuman dan pakaian dalam.
Noraidah berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang, ejen penghantaran serta pemilik sebenar kontena terbabit sebelum tindakan undang-undang diambil.

