Dari penjual kepada pengeluar, G3PNS mahu peniaga kecil kuasai rantaian bekalan

KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) berpotensi memainkan peranan strategik memperkukuh daya tahan peniaga kecil dengan menggalakkan mereka beralih daripada sekadar penjual kepada pengeluar bahan mentah sendiri.

Naib Presiden (Pembangunan Profesionalisme) G3PNS, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan berkata, pendekatan itu penting terutama bagi sektor makanan dan pertanian dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kos serta risiko gangguan rantaian bekalan global.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, pengeluaran sebahagian bahan mentah sendiri membolehkan peniaga mengawal kos input, mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar dan memastikan kesinambungan operasi.

“Dalam jangka panjang, ia membina perniagaan yang lebih tahan terhadap kenaikan harga, kekurangan bekalan dan gangguan pasaran,” katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk Risiko dan Impak Krisis Geoekonomi Negara terhadap Sektor Pertanian sempena Mesyuarat Tahunan Jabatan Pertanian Sabah baru-baru ini.

Jakaria berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) di bawah Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, untuk memperkasakan konsep Kebun Dapur.

Katanya, konsep itu berpotensi dikembangkan daripada memenuhi keperluan isi rumah kepada pengeluaran mikro berorientasikan ekonomi, termasuk menghasilkan sayur-sayuran dan herba sebagai bahan mentah untuk gerai makanan, katering, restoran serta aktiviti pemprosesan.

Beliau berkata, potensinya boleh diperluaskan melalui tanaman berskala lebih besar atau projek secara berkelompok dalam komuniti, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat menjana pendapatan dan menceburi bidang keusahawanan.

Pada masa sama, Jabatan Pertanian Sabah boleh memainkan peranan menerusi latihan penanaman moden, penggunaan teknologi bersesuaian, pemilihan tanaman bernilai tinggi serta khidmat nasihat bagi meningkatkan produktiviti.

Jakaria berkata, G3PNS pula boleh bertindak sebagai pemudah cara yang menghubungkan peniaga kecil dengan kepakaran dan sokongan teknikal kerajaan bagi membentuk ekosistem perniagaan lebih mampan.

Matlamat akhirnya, katanya, adalah untuk membawa peniaga kecil daripada penjual kepada pengeluar, daripada bergantung kepada pembekal kepada mempunyai sumber sendiri dan daripada sekadar bertahan kepada membina daya tahan perniagaan.

Berita Berkaitan