Dakwaan RM945,000 sambutan ulang tahun Yayasan Sabah belum diluluskan
KOTA KINABALU: Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya menegaskan dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam ulang tahun Yayasan Sabah (YS) yang tular di media sosial belum mendapat kelulusan pihak pengurusan.
Beliau berkata, setakat pengetahuannya, belum ada proposal atau permohonan bajet bagi tujuan berkenaan dikemukakan kepada pihak pengurusan yang mempunyai kuasa meluluskan peruntukan.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Jasnih, permohonan melibatkan jumlah peruntukan yang tinggi lazimnya akan diteliti semula dan jumlah berkenaan boleh dikurangkan berdasarkan keperluan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah selain mengelakkan pembaziran.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme bagi mengawal perbelanjaan berlebihan dengan keutamaan terus diberikan kepada kepentingan rakyat Sabah.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tersebar di media sosial mempersoalkan kononnya RM945,000 dibelanjakan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah.

