Sabah FC benam Star City 3-1 di Likas
KOTA KINABALU: Sabah FC membuka tirai Liga Malaysia musim 2026/2027 dengan kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Star City FC di Stadium Likas, malam ini.
Skuad Sang Badak yang mendapat sokongan penyokong sendiri tampil bersemangat sejak wisel permulaan dan beberapa kali mengasak benteng pertahanan pelawat.
Usaha Sabah membuahkan hasil pada minit ke-26 apabila Dane Ingham meledakkan gol pembukaan untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada tuan rumah.
Bagaimanapun, Star City tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila Rafael Vitor menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-29.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sabah terus meningkatkan tempo permainan dan mencipta beberapa peluang bagi memburu jaringan kedua.
Kesungguhan itu akhirnya berhasil pada minit ke-89 apabila pemain gantian, Darren Lok tenang menyudahkan hantaran Fadzrul Daniel untuk kembali meletakkan Sabah di hadapan.
Star City yang cuba mencari gol penyamaan kemudian dihukum sekali lagi pada penghujung aksi.
Park Jungbin menyempurnakan lorongan Mohd Fayadh untuk menewaskan penjaga gol lawan dan mengesahkan kemenangan 3-1 Sabah.
Kejayaan tersebut menghadiahkan tiga mata pertama buat Sabah FC sekali gus memberikan permulaan positif dalam kempen liga musim ini.

