Gagasan Rakyat tampil 25 ketua bahagian baharu
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah memperkemas barisan kepimpinannya dengan melantik 25 Ketua Bahagian (Penaja) baharu menerusi penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen.
Pelantikan itu menampilkan gabungan pemimpin senior berpengalaman, pemimpin muda serta muka baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kepimpinan bahagian perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memahami aspirasi rakyat dan menterjemahkannya melalui gerak kerja parti.
“Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut parti itu, pelantikan berkenaan turut memberi fokus kepada pengukuhan struktur bahagian, penambahan keahlian serta pembentukan pasukan kepimpinan lebih tersusun dan berkesan.
Gagasan Rakyat berharap gabungan pengalaman pemimpin lama dan tenaga baharu itu mampu memperkukuh organisasi serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap parti.

