Sabah FC, Selangor FC terikat 2-2 di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat 2-2 dengan Selangor FC dalam aksi Pusingan 16 Piala FA 2026/27 di Stadium Likas, malam ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sabah tampil agresif sejak awal dengan beberapa gerakan berbahaya menguji benteng Selangor.

Usaha tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-33 apabila Dane James Ingham menyempurnakan sepakan sudut Park Jung-bin untuk meletakkan Sabah di depan 1-0.

Namun, kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila Kay Sheku Tejan menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor mengejutkan tuan rumah apabila C. Moraes menjaringkan gol pada minit ke-50 untuk meletakkan pelawat di depan 2-1.

Sabah bagaimanapun bangkit lapan minit kemudian menerusi Halim Saari yang menewaskan Kalamullah Al Hafiz untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Drama semakin memuncak apabila Muhd Safuwan dilayangkan kad merah pada minit ke-79 selepas menerima kad kuning kedua, menyebabkan Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Meskipun mempunyai kelebihan pemain, Sabah gagal mencari jaringan kemenangan apabila Selangor bertahan sehingga wisel penamat.

Keputusan 2-2 menjadikan aksi timbal balik nanti semakin terbuka dengan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

Berita Berkaitan