MUIS sasar kutipan zakat RM140 juta tahun ini
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM140 juta tahun ini selepas merekodkan kutipan RM95 juta setakat Ogos.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, zakat penggajian menjadi penyumbang terbesar dengan 47 peratus, manakala zakat perniagaan menyumbang 27.12 peratus daripada keseluruhan kutipan.
Menurutnya, MUIS berharap lebih banyak syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menunaikan zakat perniagaan bagi membantu mencapai sasaran berkenaan.
“Kita berharap akan lebih ramai atau lebih banyak lagi pihak perniagaan termasuk GLC untuk menunaikan zakat perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat THP Sabaco Sdn Bhd kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Arifin yang juga Exco Agama berkata, hasil kutipan zakat disalurkan kepada golongan asnaf termasuk bagi pembangunan pendidikan anak-anak Sabah.
Katanya, hampir 200 pelajar Sabah ditaja MUIS untuk melanjutkan pengajian di Mesir, manakala lebih 20 pelajar menerima dermasiswa untuk menyambung pengajian di Jordan.
Beliau berkata MUIS akan terus memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan disalurkan kepada golongan yang layak termasuk fakir miskin serta mualaf.

