UMS perkukuh penyelidikan bioteknologi bersama syarikat Indonesia
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluas jaringan penyelidikan serantau menerusi kerjasama dengan syarikat Indonesia, PT Milagros Putra Mandiri dalam bidang bioteknologi dan penilaian produk suplemen kesihatan.
Kerjasama bernilai RM30,000 itu dilaksanakan melalui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS dan dimeterai sempena Simposium Bioteknologi Antarabangsa Ke-9 (SB9) 2026.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Rosalam Sarbatly dan H Angga Pambudi Adji bagi pihak PT Milagros Putra Mandiri.
Pemeteraian itu disaksikan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron serta Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Projek penyelidikan terbabit akan menilai bioaktiviti, komposisi kimia dan profil keselamatan produk menerusi pendekatan multidisiplin.
Kajian termasuk penilaian aktiviti antioksidan, anti-penuaan, antihipertensi dan antidiabetik selain penggunaan teknologi pemprofilan kimia dan metabolomik.
Angga berkata kerjasama itu turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu manuskrip untuk diterbitkan dalam jurnal berindeks.
Sementara itu, Pengarah IPB UMS, Prof Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata keyakinan pihak industri antarabangsa terhadap kepakaran UMS menunjukkan kemampuan universiti menyediakan penyelidikan berkualiti.
Beliau berkata kerjasama berkenaan dijangka membuka ruang kepada pembangunan produk, inovasi dan penyelidikan translasi, selain mengukuhkan jaringan UMS dengan industri di peringkat serantau.

