Kerajaan sedia cadang darurat jika IPU lebih 400
KUALA BERANG: Kerajaan bersedia mencadangkan pengisytiharan darurat di mana-mana kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 400, selaras dengan prosedur operasi standard pengurusan jerebu negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bacaan melebihi 400 dikategorikan sebagai sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan untuk pengisytiharan darurat.
“Kalau lebih daripada 400 ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan untuk diisytiharkan darurat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Dataran Kampung Basong, di sini.
Menurut Arthur, setakat ini tiga daripada 68 stesen pemantauan IPU di seluruh negara mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman, manakala Serian merekodkan tahap berbahaya.
Beliau berkata pengisytiharan darurat akan kekal sehingga bacaan IPU turun ke paras lebih selamat, dengan langkah keselamatan seperti penutupan sekolah dan pemakaian pelitup muka dilaksanakan sepanjang tempoh itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat di seluruh Bahagian Serian susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata operasi pembenihan awan di Sarawak, Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif apabila beberapa kawasan menerima hujan sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.
Malaysia turut menerima kebenaran bertulis daripada Indonesia bagi membolehkan aset udara negara memasuki ruang udara republik itu untuk tujuan operasi pembenihan awan.
Kerajaan Malaysia juga menawarkan aset serta tenaga kerja bagi membantu memadam kebakaran terbuka di Indonesia, namun setakat ini belum menerima sebarang permintaan rasmi.

