Dua gol Mujagic benam Sabah FC di Likas

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic menjadi watak utama apabila meledakkan dua gol untuk membantu Kuching City FC menewaskan The Rhinos 2-0 dalam aksi Derby Borneo di Stadium Likas, malam ini.

Mujagic, yang pernah menyarung jersi Sabah, membuka jaringan pada minit kelima sebelum sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-21.

Jaringan kedua hadir selepas pemain Sabah kehilangan penguasaan bola di luar kawasan penalti, sekali gus memberi ruang kepada Kuching City menghukum kesilapan tuan rumah.

Selain Mujagic, Kuching City turut mempertaruhkan dua lagi bekas pemain Sabah, Gabriel Peres dan Petrus Shitembi dalam kesebelasan utama.

Kehadiran Shitembi di bahagian tengah membantu pelawat mematahkan gerakan Sabah, manakala Peres tampil kemas mengemudi barisan pertahanan.

Sabah yang ketinggalan dua gol cuba memperkemaskan permainan, namun gagal menembusi benteng Kuching City sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang tetapi tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan.

Sabah membuat beberapa pertukaran termasuk memasukkan Hanafie Tokyo Hasim, Muhd Farhan Roslan dan penjaga gol Damien Lim, namun keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan itu menjadi yang pertama buat Sabah FC dalam kempen Liga Malaysia 2026/2027.

Berita Berkaitan