Bekalan simen Sabah pulih pertengahan September
KOTA KINABALU: Masalah gangguan bekalan simen di Sabah dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini susulan selesainya kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Teluk Sepangar.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf berkata, selain kerja penyelenggaraan, kelewatan kapal membawa bahan mentah klinker dan simen pukal turut menjejaskan bekalan di pasaran.
Menurutnya, kelewatan itu berlaku akibat keadaan cuaca kurang baik di pelabuhan kilang pembekal.
“Kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang telah berjaya disiapkan pada 4 September dan CIS kini sedang berusaha meningkatkan semula pengeluaran serta bekalan simen ke pasaran.
“Bekalan simen dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini,” katanya.
Sumardi berkata, pihaknya turut meningkatkan perolehan bekalan klinker dan simen pukal bagi memastikan permintaan tinggi terhadap bahan binaan tersebut dapat dipenuhi.
Katanya, usaha itu bagi memastikan bekalan simen dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna dan pemain industri pembinaan di Sabah.
CIS dalam masa sama memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak sepanjang tempoh pemulihan bekalan berkenaan.

