Imigresen Sabah tahan 133 PATI dalam 20 operasi
KOTA KINABALU : Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi 20 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri antara 27 Ogos hingga 3 September lalu.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 289 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan yang dilaksanakan di beberapa lokasi strategik.
Daripada jumlah yang ditahan, 97 merupakan warga Filipina terdiri daripada 45 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dewasa dan lima wanita dewasa, selain empat lelaki warga Pakistan.
Menurut JIM Sabah, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

