Keharmonian keluarga tingkat mutu perkhidmatan awam
KOTA KINABALU : Keluarga yang sejahtera dan harmoni menjadi asas penting dalam meningkatkan tahap profesionalisme serta mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, keseimbangan antara kehidupan keluarga dan pekerjaan mampu memberi kesan positif terhadap prestasi penjawat awam.
Katanya, apabila keharmonian bermula di rumah, dedikasi serta komitmen dalam melaksanakan tugas kepada rakyat juga dapat dipertingkatkan.
“Apabila keharmonian bermula di rumah, dedikasi dan mutu penyampaian tugas perkhidmatan awam secara automatiknya dapat ditingkatkan demi kemakmuran rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Keluarga Ceria Ria anjuran PUSPANITA Cawangan Sabah, di sini, pada Sabtu.
Zainudin berkata, penganjuran program seperti itu bukan sekadar aktiviti kekeluargaan, sebaliknya turut menyokong agenda pembangunan modal insan, Malaysia Madani serta amalan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha pembangunan wanita di Sabah turut menunjukkan kemajuan apabila lebih banyak inisiatif keusahawanan, sosial dan pembangunan kepimpinan dilaksanakan.
Menurutnya, penyertaan wanita dalam jawatan tinggi pentadbiran kerajaan negeri kini telah melebihi 30 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan peranan wanita dalam sektor awam.
Beliau berharap PUSPANITA terus memainkan peranan memperkukuh silaturahim, integriti, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan anggotanya.

