7,111 penyokong tetap gegarkan Likas meski Sabah FC tewas

KOTA KINABALU: Seramai 7,111 penyokong membanjiri Stadium Likas bagi memberikan sokongan kepada Sabah FC dalam aksi Borneo Derby menentang Kuching City FC, malam tadi.

Kehadiran penyokong The Rhinos menceriakan suasana stadium ketika kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, sorakan penyokong tuan rumah akhirnya terhenti apabila Sabah FC tewas 0-2 kepada Kuching City FC.

Bekas penyerang Sabah, Ajdin Mujagic, menghukum bekas pasukannya menerusi dua jaringan pada minit kelima dan ke-21 untuk memberikan tiga mata kepada skuad pelawat.

Sabah FC berusaha mencari jalan kembali dalam perlawanan khususnya pada babak kedua, namun gagal menembusi benteng pertahanan Kuching City sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Sabah FC merekodkan kekalahan pertama mereka dalam saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Berita Berkaitan