Asian Pac henti sementara kerja ubah suai selepas aduan penghuni The Loft

KOTA KINABALU: Asian Pac mengarahkan kontraktornya menghentikan sementara kerja pengubahsuaian yang didakwa mengganggu ketenteraman penghuni The Loft, susulan isu berkenaan dibangkitkan bersama beberapa perkara lain pada sidang media hujung minggu lalu.

ADUN Api-Api, Loi Kok Liang, menyambut baik tindakan itu dan berkata kesediaan pemaju mendengar serta memberi maklum balas kepada penghuni merupakan perkembangan positif.

Katanya, beliau bersama ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, sebelum ini mendampingi pemilik unit The Loft yang membangkitkan isu bunyi bising kerja pengubahsuaian, susunan tempat letak kereta serta hak milik subsidiari.

“Kesediaan Asian Pac mengarahkan kontraktornya menghentikan sementara kerja itu sekurang-kurangnya menunjukkan pemaju bersedia mendengar dan memberi respons terhadap suara penduduk,” katanya.

Bagaimanapun, Loi berkata tindakan itu hanya menjawab sebahagian daripada aduan, khususnya berkaitan bunyi bising.

Menurutnya, isu perubahan susunan tempat letak kereta dan hak milik subsidiari masih memerlukan penjelasan lanjut daripada pemaju.

Loi berkata Ketua Pegawai Operasi Asian Pac difahamkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Katanya, penghuni berharap penjelasan itu akan merangkumi jumlah petak parkir untuk kegunaan mereka, susunan tempat letak kereta serta perkembangan permohonan hak milik subsidiari yang didakwa telah ditunggu lebih 10 tahun.

Beliau berkata, jika masih terdapat perbezaan antara pemaju dan penghuni, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah wajar menganjurkan mesyuarat tiga pihak membabitkan kerajaan, pemaju dan wakil penghuni.

“Matlamat kami bukan untuk mencipta musuh, tetapi membuka ruang dialog dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Berita Berkaitan