Pendaki Croatia selamat dibawa turun, SAR lima hari tamat
KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki warga Croatia yang terjatuh di Gunung Kinabalu akhirnya ditamatkan selepas mangsa berjaya dibawa turun ke Pintu Timpohon malam tadi.
Mangsa, Mauro Persic, 46, mengalami kecederaan pada kaki kanan dan rusuk kanan selain luka ringan pada tangan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi hari kelima disambung pada jam 7.07 pagi dengan pasukan penyelamat membawa mangsa melalui laluan mencabar sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer.
Pada jam 10.16 pagi, pasukan pertama berjaya membawa mangsa ke laluan tangga aluminium sebelum proses membawa turun diteruskan secara berperingkat.
Ketika operasi berlangsung, hujan dilaporkan di lokasi dan pada jam 3.21 petang, pasukan SAR bersama mangsa selamat tiba di Platform KM6.5.
Mangsa kemudian dibawa turun dari Panalaban menggunakan kaedah piggy back carry dengan bantuan Body Harness Carrier (BHC).
Pada jam 7.06 malam, mangsa bersama pasukan penyelamat selamat tiba di Pintu Timpohon sebelum diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Ranau pada jam 7.22 malam dengan diiringi kenderaan PDRM untuk rawatan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas semua anggota penyelamat tiba dengan selamat.
Operasi itu membabitkan 43 anggota SAR, termasuk 34 anggota bomba, dua ParkSAR, lima malim gunung, seorang porter dan seorang renjer.
Perkembangan akhir operasi dan masa mangsa tiba di Pintu Timpohon turut dilaporkan sumber tempatan malam tadi.

