Sabah Moto Day bawa mesej disiplin, keselamatan jalan raya, kata Hajiji
KOTA KINABALU: Sabah Moto Day 9.0 bukan sekadar acara permotoran, sebaliknya platform untuk membudayakan disiplin, keselamatan dan tanggungjawab dalam kalangan komuniti riders, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata program itu berkembang menjadi medan pertemuan anak muda, peminat permotoran, usahawan dan agensi kerajaan dari Sabah serta luar negeri.
Hajiji berkata komuniti permotoran perlu menunjukkan contoh baik dengan menghormati pengguna jalan raya dan mematuhi undang-undang.
“Jalan raya bukan litar perlumbaan. Minat dan keinginan untuk berlumba perlu disalurkan melalui platform yang sah, selamat dan teratur,” katanya.
Ucapan beliau pada Program Belia Permotoran Sabah Moto Day 9.0 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Menurut Hajiji, program itu kini menarik penyertaan bukan sahaja dari seluruh Sabah, tetapi juga Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu lebih banyak ruang positif diwujudkan untuk belia berkumpul, bersukan, berkarya dan mengembangkan potensi diri.
Hajiji turut berharap kehadiran peserta dari luar Sabah memberi manfaat kepada sektor pelancongan serta ekonomi negeri.

