Kampung Siaga 221 perkasa komuniti hadapi kecemasan, bencana

KOTA KINABALU : Program Kampung Siaga 221 dilihat mampu memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi kecemasan dan bencana dengan memberi pendedahan asas berkaitan penyelamatan serta tindakan awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, komuniti kampung perlu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran asas menyelamat supaya mampu bertindak sebelum bantuan agensi tiba.

Menurutnya, program itu memberi pendedahan mengenai asas menyelamat termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) serta penggunaan peralatan menyelamat.

“Kalau kita ada sukarelawan yang terlatih di kampung, mereka inilah yang menjadi barisan hadapan kita untuk menyelamat sebelum agensi seperti APM, bomba dan lain-lain datang ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana di Kampung Kokol, Manggatal, di sini semalam.

Mustapha berkata, pendekatan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti membolehkan masyarakat terlibat secara langsung dalam mengenal pasti risiko dan meningkatkan keupayaan menghadapi bencana.

Beliau turut menekankan kepentingan menerapkan kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan bencana dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, penglibatan APM di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi mampu membantu melahirkan generasi yang lebih peka terhadap keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

Mustapha berharap Program Kampung Siaga 221 dapat diperluaskan ke lebih banyak kampung khususnya kawasan berisiko bencana.

Program berkenaan turut melibatkan kerjasama ADTEC JTM Kota Kinabalu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menerusi kesedaran keselamatan elektrik, pameran serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Kampung Kokol merupakan kampung ketiga terlibat tahun ini selepas Tawau dan Sandakan, serta lokasi kesembilan pelaksanaan program berkenaan di Sabah.

Berita Berkaitan