Anwar berani laksana reformasi walaupun berisiko politik
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan berani melaksanakan reformasi ekonomi yang sukar walaupun berdepan risiko politik dan kemungkinan kehilangan sokongan.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, langkah penyasaran subsidi, pengukuhan kedudukan fiskal negara dan kutipan cukai bukan perkara baharu kerana sudah lama dibincangkan sejak pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan langkah berkenaan sebelum ini tidak dilakukan secara menyeluruh.
“Yang ambil keputusan tidak popular ialah Sang Guru. Biar diri terkorban, asalkan bukan negara dan rakyat merana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azwan Marjan, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Menurut Farid, beberapa isu berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel, termasuk jumlah bantuan serta kelayakan berdasarkan pemilikan kenderaan, sedang diperbaiki kerajaan.
Beliau turut menjangkakan Perdana Menteri akan membuat pemakluman baharu berkaitan program itu menjelang 16 September.
Farid berkata hampir semua parti politik utama negara pernah berpeluang berada dalam kerajaan persekutuan dan pengalaman tersebut sepatutnya digunakan untuk menawarkan dasar yang lebih baik kepada rakyat.
Katanya, ahli politik juga perlu mengetengahkan bakat baharu serta menyediakan pemimpin yang mempunyai pemikiran lebih tajam untuk berdepan cabaran masa depan.
“Rakyat semakin bijak. Rakyat juga mahukan pemimpin yang sedia menghadapi kerumitan masa hadapan.
“Kalau dia guru pun, gurulah. Asalkan tiada kes rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

