Suara mahasiswa Sabah perlu didengar – Azrul
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu terus mendengar suara mahasiswa Sabah, khususnya mereka yang menuntut di Semenanjung dan berdepan tekanan kos sara hidup serta pelbagai cabaran lain.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata antara isu yang dibangkitkan mahasiswa ialah harga tiket penerbangan, penginapan serta peluang dan tajaan pendidikan.
Menurutnya, perkara itu disuarakan ketika menerima kunjungan Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya (PERMASA UM) di pejabatnya di Menara Kinabalu.
“Sebahagian daripada perkara yang dibangkitkan telah saya sampaikan kepada Ketua Menteri untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Azrul berkata mahasiswa Sabah yang melanjutkan pengajian di luar negeri berdepan kos sara hidup dan cabaran tersendiri kerana berada jauh dari keluarga.
Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu pelajar Sabah, termasuk Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), GRS SubFly, SENTOSA dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Selain itu, katanya, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) diperkasakan kepada RM155 juta bagi 2026.
Azrul berkata kerajaan negeri akan terus menambah baik inisiatif sedia ada bagi memastikan kebajikan serta keperluan mahasiswa Sabah diberikan perhatian.
“Kita mahu anak-anak Sabah yang menuntut di luar negeri tidak rasa mereka dilupakan.
“Apa yang boleh dibantu, kita bantu. Apa yang perlu diperjuangkan, kita perjuangkan bersama,” katanya.

