Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT – KPN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM)Ā telah mengenal pasti individu yang terlibat dengan ajaran sesatĀ Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dan sedang melakukan siasatan lengkap terhadap perkara itu, kataĀ Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata PDRMĀ kini sedang dalam perancangan untuk memanggil individu tertentu bagi membantu siasatan dan sedang memantau ketat ajaran tersebut selain memastikan perkaraĀ ituĀ tidak akan menyebabkanĀ kegusaran awam.

Katanya perkara itu pada masa kini dilihat masih dalam kawalan dan PDRM tidak boleh terburu-buru dalam melakukan siasatan kerana perlu mengumpul maklumat lengkap serta siasatan juga melibatkan jabatan lain antaranya jabatan berkaitanĀ agama Islam.

“Kita ada cara, teknik dan kaedah tertentuĀ untuk menghadapi perkaraĀ ini, dahulu kita punĀ hadapi perkara sama seperti ini dan kita dapat selesaikan dengan baik…polis tidak pernah leka dan sentiasa memantau perkara ini.

“Kalau kita lihat sejarahnya ini bukan perkara baharu, sebelum ini kita juga pernah berdepan dengan perkara seperti ini dan kita atasi daripada semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di sini hari ini.

Pada majlis ituĀ Datuk HazaniĀ Ghazali, yang dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkuat kuasa Isnin depan, menyerahkan tugas kepada Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu iaituĀ DatukĀ IdrisĀ Abdullah.

Majlis sama turut menyaksikanĀ Acryl Sani memakaikan pangkatĀ Komisioner Polis (CP) kepada Idris yang sebelum ini merupakanĀ Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Tular di media sosial baru-baru ini seorang wanita dengan gelaranĀ Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnyaĀ akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Sementara itu, Acryl Sani berkata PDRM memfokuskan untuk menggunakanĀ teknologi tinggi bagi aktiviti penguatkuasaan terutama melibatkan kawalan sempadan dalam memastikan tugas itu dapat dilaksana secara lebih berkesan khususnyaĀ di kawasan pantai timur Sabah.

Ini termasuk penggunaan dron, ‘night vision’, kapal serta kenderaan darat teknologi tinggi bagi kawalan sempadan lebih berkesan…ancaman sentiasa wujud, justeru penting buat PDRM kekalkan kesiapsiagaan dengan kekalkan aset termasuk sumber manusiaĀ kemudian tingkatkan dariĀ semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, pada sidang media samaĀ Hazani mengesahkan pada masa kini tiada pengikut ajaran sesat PMYT dikesan di Sabah dan gerakan itu menurutnya banyak bertumpu di Semenanjung.

“Kena fahamkan dakwaanĀ terdapat 3,000 pengikut ajaran ini, (jumlah)Ā ini merupakan mereka yang mengikutiĀ atau ‘follower’Ā individuĀ ituĀ di media sosial seperti Facebook juga WhatsApp, ada beza dengan mereka yang betul-betul terlibat dengan ajaran itu,” katanya.

— BERNAMA

Berita Berkaitan