Penjagaan paliatif perlu sokongan berterusan – Joachim
KOTA KINABALU: Sokongan masyarakat, sektor korporat dan organisasi amat diperlukan bagi memastikan perkhidmatan penjagaan paliatif dapat diteruskan serta diperluaskan kepada lebih ramai pesakit dan keluarga yang memerlukan.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, keperluan terhadap penjagaan paliatif semakin meningkat khususnya bagi membantu pesakit yang menghidap penyakit mengancam nyawa.
“Penjagaan paliatif bukanlah perkhidmatan sampingan, sebaliknya merupakan komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan berteraskan ihsan.
“Ia membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga, selain membantu mengurangkan kemasukan ke hospital yang tidak diperlukan serta tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Konsert Tahunan Ke-27 Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) 2026, di sini pada Sabtu.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, program penjagaan paliatif di rumah yang diselaraskan PCAKK memberi peluang kepada pesakit menerima penjagaan dan keselesaan dalam persekitaran rumah sendiri.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menjaga maruah dan kualiti hidup pesakit, malah turut memberikan sokongan kepada ahli keluarga.
“Walaupun pada satu tahap rawatan untuk menyembuhkan mungkin tidak lagi dapat dilakukan, penjagaan, keselesaan, maruah dan sifat belas ihsan perlu sentiasa diberikan,” katanya.
Sehubungan itu, Joachim menggalakkan individu, syarikat korporat dan organisasi tampil memberikan sumbangan bagi memastikan perkhidmatan PCAKK dapat dikekalkan dan diperluaskan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PCAKK, Dr Jaswant Singh serta barisan doktor, jururawat, kakitangan, sukarelawan, penderma dan penyokong persatuan atas khidmat mereka kepada pesakit dan keluarga yang memerlukan.

