Pelarasan tarif elektrik demi kestabilan tenaga Sabah – Aksyah
KOTA KINABALU: Pelarasan tarif elektrik di Sabah perlu dilihat sebagai langkah bagi memperkukuh kestabilan grid dan keterjaminan bekalan tenaga dalam jangka panjang, kata Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata pelarasan kadar purata tarif asas daripada 34.52 sen kepada 39.70 sen/kWj yang berkuat kuasa 1 Februari lalu perlu dinilai bersama usaha memperkukuh sistem tenaga negeri. Sabah Electricity sebelum ini memaklumkan kira-kira 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj sebulan mengalami kenaikan bil antara RM0 hingga RM27, bergantung kepada penggunaan.
Aksyah dalam hantaran di Facebook hari ini mendakwa pembangkang memutarbelitkan isu pelarasan tarif itu dan menyifatkan kritikan berkenaan sebagai “retorik politik murahan”.
Menurutnya, perkembangan sektor tenaga Sabah menunjukkan peningkatan selepas kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu.
Data kerajaan negeri menunjukkan jidar simpanan penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu dan dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun.
“Kestabilan dan jaminan tenaga ini amat kritikal bagi wilayah luar bandar seperti Kinabatangan. Kita tidak boleh bertolak ansur lagi dengan episod catuan bekalan yang selama ini merencat potensi ekonomi rakyat di Sukau, Kuamut dan Lamag,” katanya.
Aksyah berkata pelaburan dan perancangan tenaga juga perlu memastikan manfaat kestabilan bekalan sampai ke kawasan luar bandar.
Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan antara langkah yang dirancang termasuk pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau, penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), khususnya untuk memperkukuh bekalan di Pantai Timur Sabah.

