Meningkatkan Profesionalisme Jawatan menerusi Pengajian Peringkat Sarjana
KOTA KINABALU : Dalam era pasaran kerja yang sengit dan dipacu kepantasan teknologi, kelayakan akademik asas tidak lagi mencukupi. Keperluan industri kini mendambakan tenaga kerja yang mampu berfikir pada peringkat strategik. Atas kesedaran ini, melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana, seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), bukan lagi satu trend, melainkan satu pelaburan masa hadapan yang kritikal.
Menurut pandangan Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan, Ahli Akademik UMS yang mengkhusus kepada bidang Pengurusan Sumber Manusia dan juga merupakan Subject Matter Expert Bidang Polisi Awam Pembangunan Sumber Manusia Ekonomi Biru Dan Kesejahteraan Sosial (Sekretariat SMJ), implikasi pengajian pascasiswazah adalah jauh lebih mendalam daripada pencapaian gelaran semata-mata.
Beliau menggariskan dua impak transformatif utama dalam pengajian peringkat Sarjana, iaitu Mobiliti Profesionalisme dan peranannya sebagai Katalis Inovasi. Penerapan dua dimensi ini secara langsung membezakan kapasiti seorang tenaga kerja konvensional daripada seorang peneraju industri yang berwawasan.
Impak Pertama: Mobiliti Profesionalisme membawa kepada anjakan paradigma Ilm
Kelebihan pertama Ijazah Sarjana adalah keupayaannya bertindak sebagai ejen mobiliti nilai ilmu. Di peringkat Sarjana Muda (Degree), fokus pembelajaran kebanyakan tertumpu kepada penguasaan teori asas dan kaedah pelaksanaan sesuatu tugasan teknikal (know-how). Fasa ini mempersiapkan seseorang untuk menjadi pelaksana yang cekap.
Bagaimanapun, apabila melangkah ke peringkat Sarjana (Master), berlaku peralihan radikal daripada aspek fungsional kepada aspek strategik. Ilmu asas digerakkan (mobiliti) dan diangkat ke aras yang lebih tinggi. Pelajar tidak lagi sekadar menghafal teori, malah diajar untuk menganalisis rasional di sebalik sesuatu keputusan, menilai impak jangka panjang, serta merangka strategi mitigasi risiko yang menyeluruh.
Mobiliti ilmu ini secara langsung membentuk profesionalisme yang utuh. Pandangan graduan Sarjana menjadi lebih matang, berstruktur, dan berasaskan data. Keupayaan melontarkan hujah profesional ini amat kritikal untuk memenangi keyakinan pengurusan tertinggi di meja rundingan korporat. Justeru, Ijazah Sarjana mengubah identiti seseorang daripada pelaksana arahan kepada penasihat strategik yang berwibawa.
Impak Kedua: Katalis Inovasi yang menyumbang kepada penyelesaian isu
Impak kedua yang ditawarkan ialah pembentukan jati diri sebagai seorang katalis. Dalam konteks pengajian pascasiswazah, graduan Sarjana merupakan ejen yang mampu mengubah idea-idea abstrak menjadi inovasi praktikal yang boleh dilaksanakan. Dunia hari ini tidak ketandusan idea, namun kita menghadapi krisis keupayaan untuk menterjemahkan idea tersebut menjadi solusi nyata.
Melalui kaedah kajian kes dan metodologi saintifik, khususnya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (FPEP UMS), para pelajar diasah untuk melihat masalah sebagai peluang. Mereka dilatih untuk merungkai isu-isu kompleks yang mencabar.
Apabila kemahiran ini dibawa ke dalam organisasi atau komuniti, graduan Sarjana bertindak sebagai agen perubahan. Mereka mempunyai keupayaan untuk menggerakkan dan mengubah minda (mindset) masyarakat sekeliling daripada zon selesa yang pasif kepada budaya kerja yang lebih produktif, kreatif, dan progresif.
Secara tuntasnya, Ijazah Sarjana menawarkan nilai pulangan pelaburan yang tidak ternilai nilainya. Ia memberikan mobiliti profesionalisme yang meningkatkan kredibiliti individu di mata industri, sekali gus membentuk jiwa katalis yang memacu inovasi masyarakat. Melalui bimbingan para cendekiawan di institusi pendidikan tinggi seperti UMS, para profesional hari ini berpeluang melengkapkan diri menjadi pemimpin masa hadapan yang bijaksana dan berintegriti demi kebaikan dunia dan akhirat.

