Cuba sendiri Bas Pink, Andi cadang diperluas ke Tawau, Sandakan
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy mencadangkan perkhidmatan Bas Pink diperluaskan ke Tawau dan Sandakan bagi memberi kemudahan pengangkutan awam kepada penduduk di kedua-dua daerah berkenaan.
Cadangan itu dibuat selepas beliau berkesempatan mencuba sendiri perkhidmatan Bas Pink menerusi laluan S06 pada Rabu.
Menurut Andi, pengalaman menggunakan perkhidmatan berkenaan memberikan gambaran positif terutama dari aspek keselesaan dan kadar tambang.
“Pendapat saya, selesa, tambang berpatutan dan boleh lagi perbanyakkan perhentian bas.
“Boleh juga dibawa perkhidmatan Bas Pink ke Tawau dan Sandakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Cadangan itu antara lain menyentuh keperluan memperluaskan akses pengangkutan awam serta menambah lokasi perhentian bagi memudahkan pengguna.

