Warisan Budaya Harta tidak ternilai, jangan biar hilang ditelan zaman – JAPLIN

KOTA KINABALU: Warisan budaya adalah harta tidak ternilai yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi baharu agar identiti masyarakat peribumi Sabah tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, kepesatan pembangunan dan ledakan dunia digital tidak seharusnya menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada akar budaya, adat resam dan jati diri mereka.

“Kita boleh mengejar pembangunan dan kemajuan, tetapi jangan sampai kehilangan identiti sendiri. Budaya melambangkan siapa kita dan dari mana asal kita.

“Generasi muda perlu menjadi pewaris dan penjaga budaya, manakala teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 (PBAKK 2026) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.

Japlin berkata, program itu menjadi platform penting untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Borneo, selain menggalakkan khazanah berkenaan direkod serta didokumentasikan untuk generasi akan datang.

Menurutnya, masyarakat Bajau Samah juga memiliki khazanah budaya yang cukup bernilai dan perlu terus dipelihara serta diketengahkan sebagai sebahagian daripada kekayaan budaya Sabah.

“Kepelbagaian budaya bukan pemisah, tetapi kekuatan kita. Pembangunan boleh mengubah wajah negeri dan teknologi mengubah cara hidup, tetapi warisan serta budaya menentukan siapa kita,” katanya.

Berita Berkaitan