Pertahanan negara bukan tanggungjawab tentera semata-mata – Khaled
KOTA KINABALU: Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara tidak lagi boleh diletakkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata susulan bentuk ancaman keselamatan yang semakin berubah, kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, gambaran pertahanan yang hanya dikaitkan dengan anggota tentera, aset berat, kapal perang dan jet pejuang tidak lagi mencerminkan keseluruhan cabaran keselamatan masa kini.
“Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak,” katanya ketika merasmikan Program Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, semalam.
Menurut Khaled, perubahan landskap ancaman memerlukan rakyat mempunyai pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan masing-masing dalam mempertahankan negara.
Katanya, atas keperluan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai pertahanan, keselamatan serta kedaulatan negara.
Program itu juga menggunakan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society, membabitkan kerajaan, institusi pendidikan, industri, masyarakat sivil, media serta komuniti. Sabah menjadi negeri pertama pelaksanaannya dengan penyertaan hampir 700 peserta.
Khaled berkata MINDEF dan ATM akan mempergiat program penerangan kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa ancaman terhadap kedaulatan negara tidak semestinya bermula dengan kehadiran musuh di sempadan.
Beliau turut menyeru rakyat membina daya tahan dan kesedaran terhadap keselamatan negara supaya pertahanan Malaysia dapat diperkukuh secara bersama.

