Gara-gara RM60, lelaki cedera ditetak parang
KUALA PENYU: Hanya kerana perselisihan berkaitan tuntutan wang RM60, seorang lelaki cedera di kepala dan ibu jari selepas dipercayai ditetak menggunakan parang di Kampung Kelansatan, Kuala Penyu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, suspek lelaki tempatan berusia 64 tahun ditahan anggota Balai Polis Kuala Penyu di kawasan kejadian.
Menurutnya, polis turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 70 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Mangsa menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Suspek dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Champin turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membiarkan perselisihan berakhir dengan pergaduhan serta mengelakkan pengambilan minuman memabukkan secara berlebihan yang boleh menjejaskan pertimbangan.

