Pengarah syarikat, pegawai kanan mengaku tidak salah kes suapan RM18,000

KOTA KINABALU: Seorang pengarah eksekutif syarikat dan pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas enam pertuduhan berkaitan suapan berjumlah RM18,000 bagi memudahkan operasi perlombongan emas.

Chong Tzu Khen, 69, Pengarah Eksekutif Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, Chong didakwa memberikan pinjaman tunai masing-masing RM10,000, RM3,000 dan RM5,000 kepada Robert Robin Millip sebagai upah bagi memudahkan pengoperasian perlombongan emas WRSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar April 2024, Oktober 2024 dan Oktober 2025 di sebuah restoran di Taman Fortuna serta sebuah kedai kopi di daerah Kota Kinabalu.

Robert, 60, yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian (Kontrak), Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, pula berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Dia didakwa memperoleh tiga pinjaman tunai berjumlah keseluruhan RM18,000 daripada Chong sebagai upah bagi tujuan sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 27 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Mereka turut diarahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Datuk Ram Singh.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Berita Berkaitan