Wanita maut dipercayai jatuh tingkat lima
PENAMPANG: : Seorang wanita berusia 38 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Donggongon, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan di belakang bangunan berkenaan kira-kira jam 12.36 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebelum mengalami kecederaan parah.
Mangsa kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang.
Menurut Sammy, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar dan video kejadian bagi menjaga sensitiviti serta privasi keluarga mangsa.
Individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215 bagi membantu siasatan.

