PAS Sabah: Marhamah perlu letak jawatan jika dakwaan NAM disahkan
KOTA KINABALU: PAS Sabah menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan dakwaan penglibatan atau sokongannya terhadap New Age Movement (NAM).
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, tindakan itu wajar sekiranya dakwaan tersebut terbukti memandangkan Marhamah memegang portfolio berkaitan hal ehwal agama.
Menurutnya, sekiranya Marhamah enggan berbuat demikian selepas dakwaan itu disahkan, Perdana Menteri sewajarnya mengambil tindakan terhadap kedudukannya.
“Isu yang mengaitkan beliau dengan fahaman berkenaan bukan perkara remeh, apatah lagi apabila ia melibatkan seorang pemimpin yang memegang amanah dalam portfolio hal ehwal agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Aliakbar berkata PAS Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang telah dikemukakan Marhamah.
Katanya, penelitian menyeluruh berdasarkan bukti sahih perlu diselesaikan pihak berkuasa agama sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
“PAS Sabah tidak berhasrat menjadikan isu ini medan fitnah atau menghukum sesiapa berdasarkan persepsi.
“Namun, ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai tindakan yang jelas apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan,” katanya.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun dengan Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan unsur NAM. Sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah Jakim dan pihak berkaitan.
Dalam kenyataannya, Aliakbar turut memberi perhatian kepada penyebaran pelbagai fahaman kerohanian melalui platform digital dan menggesa pendidikan akidah diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda di Sabah.
Beliau turut menyeru kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa memainkan peranan dalam memberikan kefahaman agama yang jelas kepada golongan muda.

