Sabah mahu perkasa industri lembu pedaging dengan baka berkualiti
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneroka usaha mendapatkan baka lembu berkualiti tinggi bagi memperkukuh industri ternakan lembu pedaging negeri, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata demikian semasa lawatan tinjauan ke ladang ternakan lembu di Brisbane, Australia, bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid bagi melihat potensi program pembiakbakaan baka lembu untuk Sabah.
“Ini adalah untuk pembiakbakaan baka lembu Sabah dan pembekalan anak-anak lembu baka terbaik kepada penternak-penternak yang telah menjalani kursus pemeliharaan lembu,” katanya.
Jamawi berkata, setiap penternak yang berjaya akan dibekalkan dengan lembu baka baik yang mempunyai kualiti daging tinggi, sekali gus berpotensi memberikan hasil yang lebih lumayan kepada mereka pada masa akan datang.
“Saya yakin dan percaya industri ternakan lembu pedaging di Sabah akan beroleh kejayaan yang baik jika kita dapat baka yang berkualiti tinggi,” katanya.
Usaha mendapatkan baka berkualiti itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan sektor ternakan serta membantu penternak meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Syaheddrul R Joddari; Pengarah juga Pengasas Agrimeat PTG LTD, Olanz Anwar dan Pengarah International Trade & Supply chain Agrimeat PTY LTD Mukhlis Rohaizak.

