SPRM Reman Penjawat Awam Disyaki Salah Guna Kuasa
KENINGAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap yang melibatkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi.
Suspek seorang lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Keningau.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2024.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap melibatkan kesemua projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik salah seorang ahli keluarganya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

