Baru sehari tular, jalan berlubang di Tuaran Bypass sudah dibaiki

KOTA KINABALU: Belum pun reda isu jalan berlubang yang tular di media sosial, kerosakan di Jalan Bulan, Tuaran Bypass dilaporkan sudah dibaiki, hanya sehari selepas seorang pengguna TikTok membangkitkan masalah berkenaan.

Perkembangan itu dikongsikan pengguna TikTok dikenali sebagai Boss Saiful menerusi satu lagi rakaman video yang memaparkan keadaan laluan berkenaan selepas kerja pembaikan dipercayai dilaksanakan.

Menerusi hantaran terbaharunya, Boss Saiful meluahkan rasa gembira apabila aduan yang disuarakannya mendapat perhatian sehingga kerosakan jalan itu dibaiki dalam tempoh singkat.

“Kuasa viral guys. Baru jak kemarin saya post pasal tu lubang, hari ni diorang repair sudah.

“Jangan kamu malu-malu mau rakam video kasih viral kalau untuk kebaikan semua,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Sebelum ini, Boss Saiful memuat naik video memaparkan beberapa lubang besar yang dipenuhi air serta permukaan jalan rosak di Jalan Bulan, Tuaran Bypass.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal yang berisiko mengalami kemalangan sekiranya terlanggar lubang berkenaan.

Dalam hantaran terdahulu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil tindakan segera sebelum kerosakan menjadi semakin serius.

Rakaman terbaharu itu memperlihatkan keadaan jalan yang kelihatan lebih rata, dengan beberapa kenderaan melalui laluan terbabit.

Perkongsian berkenaan turut menunjukkan bagaimana media sosial menjadi antara saluran masyarakat untuk mengetengahkan masalah kemudahan awam yang memerlukan perhatian pihak berkaitan.

Bagaimanapun, pihak yang melaksanakan pembaikan serta status sebenar kerja penyelenggaraan itu belum dapat disahkan secara rasmi.

Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi diperoleh daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai tindakan pembaikan di lokasi berkenaan.

Berita Berkaitan