Warga emas ditemukan lemas, jala tersangkut pada badan

KOTA BELUD: Seorang warga emas berusia 70 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan ditemukan meninggal dunia dengan jala tersangkut pada badannya di sungai berhampiran Kampung Rajunah, di sini, pagi tadi.

Mangsa ditemukan orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak malam tadi tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis berhubung kehilangan lelaki itu pada pukul 10.54 malam semalam.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi sebelum tiba pada pukul 11.07 malam.

“Berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 5.30 petang semalam dengan membawa jala ikan menuju ke sungai.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pencarian di sepanjang tebing sungai menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface search).

“Bagaimanapun, keadaan gelap menyukarkan usaha pencarian dan tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa mahupun barang yang dibawanya ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, operasi pencarian ditangguhkan pada pukul 12.20 tengah malam sebelum disambung semula pagi tadi.

Katanya, ketika pasukan bomba tiba semula di lokasi pada pukul 7.56 pagi, pihaknya dimaklumkan bahawa mangsa sudah ditemukan oleh orang awam kira-kira 26 minit lebih awal.

“Mangsa dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan dan ditemukan dalam keadaan jala tersangkut pada badannya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi SAR diketuai PBK II Rano Godol dengan kekuatan lapan anggota BBP Kota Belud, dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.45 pagi tadi.

Berita Berkaitan